Wednesday, July 21, 2010

Kenaikan harga kurangkan pengambilan gula, hindar 60 penyakit

2010/07/19

KERAJAAN mengumumkan kenaikan harga gula 25 sen kepada RM1.90 sekilogram bermula Jumaat lalu. Ia pasti mengundang reaksi pelbagai pihak terutama peniaga.
Tahukah anda kini lebih daripada 1.3 juta penghidap kencing manis di Malaysia? Malah Malaysia juga mempunyai pesakit diabetes keempat tertinggi di Asia. Ia satu angka yang menakutkan jika dibiar berterusan.

Jika dikaitkan dengan statistik itu, wajar kerajaan mengurangkan subsidi gula yang menyebabkan kebanyakan rakyat mengalami masalah kesihatan. Mungkin ini mengurangkan kadar pengambilan gula rakyat. Menurut Persatuan Pengguna Pulang Pinang (CAP), Malaysia adalah pengguna gula kelapan tertinggi di dunia. Pengambilan gula berlebihan dalam kehidupan seharian antara punca utama pelbagai penyakit. Bukan itu saja, gula juga dikaitkan dengan 60 jenis penyakit yang ada di dunia ketika ini.

Antaranya diabetes, penyakit jantung, kerosakan buah pinggang, kanser ovari, asma, barah gastrik, sawan dan banyak lagi. Kandungan gula yang tinggi dalam pemakanan rakyat Malaysia menyebabkan rakyat Malaysia mati secara perlahan lahan.

Lebih menakutkan kebanyakan daripada kita tidak mengetahui berapa banyak gula yang diambil setiap hari. Contohnya, berdasarkan data CAP, kandungan gula dalam kordial sirap ros mencecah 200 sudu teh gula. Bayangkan minuman itu diberikan kepada anak kita.

Masalah kegemukan dan obesiti di Malaysia kini mencecah 54 peratus daripada penduduk dewasa. Antara penyebabnya ialah pengambilan gula berlebihan.
Jika di negara jiran, gula dijual pada harga tinggi sehingga RM2.50 sekilogram. Hasilnya jumlah pengambilan gula berjaya dikurangkan kerana gula barang yang mahal dan tidak mampu dibeli dalam kuantiti yang banyak.

Ia berbeza di Malaysia, gula dijual pada harga yang rendah disebabkan subsidi kerajaan bagi mengelak berlaku kenaikan harga barang. Akibatnya semakin ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit berkaitan dengan gula.

Adakah itu cagaran yang perlu dibayar hanya untuk mengawal kenaikan harga barang? Negara kita kehilangan aset seperti pekerja mahir, pakar dan bakal pemimpin disebabkan masalah kesihatan berpunca daripada gula.

MOHD SHAMSURIYADI MAMAT,
Kuala Kangsar, Perak.
(Dipetik dari Berita Harian, 19/7/2010)

No comments:

Post a Comment