Monday, July 26, 2010

Hak Mendapat Keselamatan

Pengguna berhak mendapat jaminan bahawa barang dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah selamat dan tidak membahayakan kesihatan pengguna.


Pengeluar
bertanggungjawab untuk menjual barang dan perkhidmatan yang selamat dan tidak membahayakan kesihatan pengguna. Pengeluar juga perlu menyediakan panduan atau arahan untuk menggunakan sesuatu produk yang dikeluarkan.
Pengguna
pula harus bijak memilih barangan dan perkhidmatan yang selamat digunakan. Pengguna perlu juga memastikan bahawa barang-barang keluaran tempatan ada tanda atau logo SIRIM untuk menjamin keselamatan barang yang dibeli.

Terdapat juga pengeluar yang mementingkan keuntungan tanpa berfikir keselamatan pengguna. Ada juga pengeluar yang mengeluarkan barang yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan pengguna.
Bagi menjamin keselamatan pengguna, kerajaan telah menggubal undang-undang iaitu Akta Elektrik 1973 dan Ordinan Menjual Makanan dan Dadah 1952 (pindaan 1983).

Akta Elektrik 1973
-Keselamatan pengguna dalam penggunaan alatan elektrik merupakan hak pengguna dalam akta ini. Barangan elektrik yang dipasang perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Bekalan Elektrik (JBE) terlebih dahulu selain mendapatkan pengesahan daripada SIRIM.

Ordinan Menjual Makanan dan Dadah 1952 (pindaan 1983)
-Dalam ordinan ini, pengguna berhak mendapatkan ubatan atau makanan yang menggunakan bahan kimia yang minimum dalam pembikinannya.

INFO

SIRIM mula beroperasi pada tahun 1996

dengan misi untuk membantu pengusaha

meningkatkan daya saing menerusi penyelidikan

dan pembangunan dalam bidang teknologi dan kualiti.

Sunday, July 25, 2010

Perangkap Hutang- JAUHI!!!

Hutang bukan sesuatu yang baik, bukan juga sesuatu yang buruk. Ia bergantung dengan cara Pengguna menggunakannya. Jika pengguna terlalu bergantung kepada hutang pengguna berkemungkinan akan memasuki "perangkap hutang" atau dalam cara lain pengguna terpaksa bertungkus lumus untuk melangsaikan hutang. Pengguna mungkin akan tinggal dalam keresahan disebabkan hutang yang terlalu banyak!

Adakah saya terperangkap di dalam "perangkap hutang"?
Anda termasuk dalam "perangkap hutang" sekiranya:-


· Bahagian gaji bersih Pengguna bagi membiayai hutang semakin meningkat. Maknanya gaji anda terpaksa digunakan untuk membayar hutang.

· Pengguna sentiasa lewat membiayai hutang.

· Pengguna hanya dapat membayar balik amaun minimum bagi pinjaman peribadi dan kredit.

· Pengguna sentiasa meminjam wang daripada rakan karib atau keluarga.

· Banak menghubungi Pengguna kerana lewat membayar hutang.

· Pengguna sentiasa risau hal kewangan.

· Pengguna tidak dapat menyimpan wang.

· Pengguna kerap kali menjual aset lain.

Buat pengetahuan, 'Perangkap Hutang" bukan sesuatu yang datang secara tiba-tiba, ia merupakan proses yang berlaku secara perlahan-lahan.

Pengguna harus membina tabiat berbelanja dan meminjam dengan baik agar tidak terperangkap.

Saturday, July 24, 2010

Perancangan Kewangan Secara Bijak Bagi Pelajar

Hampir setiap kanak-kanak mendapat wang saku daripada ibubapa mereka sebagai bekalan ke sekolah. Namun tidak ramai kanak-kanak yang tidak bijak mengurus wang yang telah diterima.


Berikut adalah beberapa perancangan yang boleh dilaksanakan untuk mengurus wang:


· Rancang perbelanjaan.

Sentiasa merancang kewangan apabila menerima wang perbelanjaan/ Perbelanjaan secara terancang merupakan amalan yang boleh menjamin masa hadapan yang cerah. Rekodkan jumlah wang saku yang diterima dan rekod juga perancangan perbelanjaan. Cuba sedaya upaya untuk berjimat semasa berbelanja.


· Belanja Dengan Bijak.

Cara belanja dengan bijak bermakna berbelanja apabila perlu dan membeli barang yang perlu sahaja.
Jangan meminjam wang daripada sesiapa.
Jangan berbohong kepada ibubapa semata-mata ingin mendapatkan wang.
Jangan minta sesuatu yang diluar kemampuan ibubapa.


· Pastikan Sentiasa Mempunyai Wang Ditangan.

Elakkan berbelanja sehingga wang ditangan habis. Hal ini demikian kerana wang perlu digunakan bila-bila masa sahaja.


· Menyimpan Wang Di Tempat Selamat.

Bank merupakan institusi penerima simpanan yang selamat di samping dapat memberi faedah daripada wang yang disimpan. Minta bantuan guru atau ibubapa untuk membuka akaun simpanana.


· Melabur Wang Untuk Mendapatkan Pulangan.

Jumlah wang disimpan di bank akan bertambah nilainya apabila bank memberi faedah kepada penyimpan wang.

Friday, July 23, 2010

Panduan Menggunakan Kad Kredit Secara Bijak


  • Buat tinjauan ke atas bebrapa sumber kredit untuk mendapatkan kos kredit yang terendah.
  • Pastikan anda benar-benar mampu memenuhi tanggungan kewangan yang angkat berbangkit.
  • Gunakan kredit secara bijaksana iaitu dengan membeli barangan utama seperti pembelian rumah.
  • Baca kontrak dengan teliti sebelum menandatanganinya.
  • Jangan tandatangan kontrak kosong.
  • Pastikan anda meminjam dari pemberi pinjaman wang yang berlesen.
  • Pinjam pada jumlah yang terendah yang anda perlukan bukan semaksimum yang ditawarkan peminjam.
  • Jika anda membeli secara kredit, pastikan anda mendapat mutu barang yang sama jika anda membeli secara tunai.
  • Pastikan anda akan diberitahu mengenai apa-apa bayaran tambahan.



Thursday, July 22, 2010

Pengeluar, peniaga setuju tak naikkan harga makanan dan minuman

PUTRAJAYA: Harga makanan dan minuman yang mengandungi gula di seluruh negara tidak akan dinaikkan, walaupun harga bahan itu naik 25 sen minggu lalu.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan antara Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan persatuan terlibat, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata dalam pertemuan itu, lebih 500,000 pengeluar dan peniaga makanan, yang diwakili 34 persatuan komited untuk tidak menaikkan harga makanan dan minuman yang mengandungi gula.

"Saya harap dengan komitmen yang diberikan persatuan pada hari ini akan melegakan pengguna dan mereka boleh melaporkan kepada kementerian jika terdapat sebarang kenaikan," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Antara persatuan yang terlibat ialah Persatuan Pemborong Malaysia, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Kumpulan Pengeluaran Makanan Malaysia (MAFMAG), Persatuan Pengilang-Pengilang Roti Malaysia, Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu, Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

Ismail Sabri berkata persatuan dan pengeluar makanan itu memahami keperluan kerajaan menstruktur semula subsidi dan mereka sedia menyerap kesan kenaikan harga gula itu kerana ia tidak terlalu tinggi.

Pegawai penguatkuasa dan pemantau kementerian akan sentiasa memantau harga makanan dan minuman bergula di seluruh negara dari semasa ke semasa dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika mana-mana pihak didapati menaikkan harga, katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Datuk Mohamad Mahmud berkata beliau menerima langkah kerajaan menaikkan harga gula kerana ia dapat mengelak masalah kekurangan bekalan.

"Daripada kita sukar untuk mendapatkan bekalan, lebih baik kerajaan naikkan harga gula kerana kebanyakan ahli menggunakan gula ini dalam perniagaan masing-masing," katanya.

Beliau berkata penjelasan juga akan diberi kepada lebih 400,000 anggota persatuan itu supaya mereka tidak menaikkan harga makanan, namun tidak menolak kemungkinan berlaku sedikit penyesuaian dari segi saiz makanan.

Presiden Primas Datuk R. Ramalingam Pillai berkata satu edaran akan dibuat kepada lebih 1,300 anggota persatuan itu yang melibatkan lebih 5,000 restoran di seluruh negara untuk memaklumkan mengenai hasil pertemuan hari ini bagi memastikan mereka tidak menaikkan harga makanan dan minuman.

Beliau berkata walaupun ia akan meningkatkan kos, ia hanya menyebabkan kenaikan yang nominal dan boleh diserap. - BERNAMA

(Dipetik dari Berita Harian, 19/7/2010)

Wednesday, July 21, 2010

Kenaikan harga kurangkan pengambilan gula, hindar 60 penyakit

2010/07/19

KERAJAAN mengumumkan kenaikan harga gula 25 sen kepada RM1.90 sekilogram bermula Jumaat lalu. Ia pasti mengundang reaksi pelbagai pihak terutama peniaga.
Tahukah anda kini lebih daripada 1.3 juta penghidap kencing manis di Malaysia? Malah Malaysia juga mempunyai pesakit diabetes keempat tertinggi di Asia. Ia satu angka yang menakutkan jika dibiar berterusan.

Jika dikaitkan dengan statistik itu, wajar kerajaan mengurangkan subsidi gula yang menyebabkan kebanyakan rakyat mengalami masalah kesihatan. Mungkin ini mengurangkan kadar pengambilan gula rakyat. Menurut Persatuan Pengguna Pulang Pinang (CAP), Malaysia adalah pengguna gula kelapan tertinggi di dunia. Pengambilan gula berlebihan dalam kehidupan seharian antara punca utama pelbagai penyakit. Bukan itu saja, gula juga dikaitkan dengan 60 jenis penyakit yang ada di dunia ketika ini.

Antaranya diabetes, penyakit jantung, kerosakan buah pinggang, kanser ovari, asma, barah gastrik, sawan dan banyak lagi. Kandungan gula yang tinggi dalam pemakanan rakyat Malaysia menyebabkan rakyat Malaysia mati secara perlahan lahan.

Lebih menakutkan kebanyakan daripada kita tidak mengetahui berapa banyak gula yang diambil setiap hari. Contohnya, berdasarkan data CAP, kandungan gula dalam kordial sirap ros mencecah 200 sudu teh gula. Bayangkan minuman itu diberikan kepada anak kita.

Masalah kegemukan dan obesiti di Malaysia kini mencecah 54 peratus daripada penduduk dewasa. Antara penyebabnya ialah pengambilan gula berlebihan.
Jika di negara jiran, gula dijual pada harga tinggi sehingga RM2.50 sekilogram. Hasilnya jumlah pengambilan gula berjaya dikurangkan kerana gula barang yang mahal dan tidak mampu dibeli dalam kuantiti yang banyak.

Ia berbeza di Malaysia, gula dijual pada harga yang rendah disebabkan subsidi kerajaan bagi mengelak berlaku kenaikan harga barang. Akibatnya semakin ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit berkaitan dengan gula.

Adakah itu cagaran yang perlu dibayar hanya untuk mengawal kenaikan harga barang? Negara kita kehilangan aset seperti pekerja mahir, pakar dan bakal pemimpin disebabkan masalah kesihatan berpunca daripada gula.

MOHD SHAMSURIYADI MAMAT,
Kuala Kangsar, Perak.
(Dipetik dari Berita Harian, 19/7/2010)

Monday, July 19, 2010

TANGGUNGJAWAB PENGELUAR

Harga Berpatutan

- Mempunyai tanda harga.

- Merujuk kepada senarai harga barang yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Maklumat Tepat

- Maklumat pada label barang seperti kuantiti, kualiti dan jaminan hendaklah tepat.

- Produk hendaklah sama seperti yang diiklankan atau didemonstrasikan.

Mamatuhi Piawaian dan Etika

- Mematuhi piawaian dan etika dalam mengeluarkan produk tertentu. Misalnya mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan atau pengesahan SIRIM.

- Menjamin hak pengguna.

Sunday, July 18, 2010

TANGGUNGJAWAB PENGGUNA

Pengguna ialah setiap orang yang mendapatkan barangan dan perkhidmatan dari pasaran untuk kegunaan diri dan keluarganya. Tidakkan anda sedar bahawa pengguna sering kali ditipu kerana mereka tidak tahu tanggungjawab mereka sebagai pengguna? Pengguna sendiri kurang peka kepada hak-hak mereka yang diesediakan oleh undangg-undang dan peraturan yang diwujudkan untukmelindungi mereka. Tidak ramai pengguna di Negara ini memberikan perhatian terhadap hak-hak mereka yang diperuntukkan dalam undang-undang sebelum membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan di pasaran.

Sebenarnya pengguna yang bijak perlu tahu membuat imbangan antara tanggungjawab sebagai pengguna dan dalam masa yang sama menuntut apa-apa yang sepatutnya menjadi hak mereka. Dalam hal ini pengguna perlu mengetahui barangan dan perkhidmatan yang dibeli adalah selamat digunakan atau dimakan. Mereka perlu memastikan maklumat yang diberikan dalam label adalah benar. Selain itu, pengguna juga perlu sedar bahawa mereka diberikan pilihan untuk memilih atau membeli barangan tanpa paksaan atau ugutan. Mereka juga perlu mengetahui bahawa mereka mempunyai tempat untuk mengadu sekiranya berlaku penyelewengan ketika proses jual beli.

Friday, July 16, 2010

Hak Pengguna

Hak untuk menyuarakan pendapat

- Berhak untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap barangan dan perkhidmatan yang diterima dan dihantar oleh pengeluar.

Hak untuk memilih

- Berhak memilih barangan dan perkhidmatan tanpa unsure paksaan.

- Berhak menentukan kualiti barangan dan perkhidmatan berada pada paras yang baik.

- Berhak mendapat harga barangan dan perkhidmatan yang berpatutan.

Hak kepada keselamatan

- Berhak untuk mendapat perlindungan keselamatan apabila menggunakan perkhidmatan barangan.

Hak untuk mendapat ganti rugi

- Berhak membuat tuntutan ganti rugi apabila mendapati barangan rosak dan perkhidmatan tidak memuaskan.

Hak untuk hidup dalam alam sekitar yang bersih dan selamat

- Berhak untuk mendapat alam sekitar yang bersih daripada ancaman pencemaran alam.

Thursday, July 15, 2010

PENGGUNA YANG RASIONAL

Kita seharusnya menjadi pengguna yang rasional sama ada semasa membeli barangan ataupun mendapat perkhidmatan. Untuk menjadi pengguna yang rasional, kita seharusnya mengetahui hak dan tanggungjawab sebagai pengguna.

setiap rakyat ialah pengguna sama ada untuk barangan ataupun perkhidmatan. Pengguna perlu mengetahui tanggungjawab mereka sebagai pengguna. Dengan adanya pengetahuan tersebut, maka pengguna dapat memainkan peranan dalam menentukan kualiti barangan dan perkhidmatan yang disediakan oleh pengeluar berada dalam keadaan yang baik. Dengan ini pengeluar akan memastikan kualiti barangan dan perkhidmatan berada pada tahap yang diperlukan oleh setiap pengguna.

Pengguna juga perlu mengetahui hak mereka sebagai pengguna. Dalam hal ini, ada banyak hak yang perlu diketahui oleh pengguna. Sebagai contoh, hak untuk mendapatkan maklumat secara terperinci tentang sesuatu barangan serta spesifikasinya. Dengan ini pengguna tidak akan mudah tertipu oleh pengeluar dan nasib mereka akan terbela.

Pengguna perlu ada etika mereka. Etika akan membantu pengguna semasa mereka ingin mendapatkan barangan dan perkhidmatan. Pengguna akan membuat pembelian dan perbelanjaan yang berhemah. Perbelanjaan pengguna dapat dikawal serta tidak mudah ditipu pengeluar.