Friday, June 11, 2010

Utusan Online - Lesen Runcit

PENIAGA MASIH UNTUNG

KUALA LUMPUR 7 Jun - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yakin peruncit tepung gandum, gula dan minyak masak masih mampu mengaut keuntungan walaupun selepas ia dilesenkan kerana lesen runcit bagi barangan berkenaan diberikan secara percuma oleh kerajaan.

Pengarah Projeknya, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, justeru peniaga runcit tidak mempunyai sebab untuk mendakwa langkah kerajaan itu membebankan mereka.

"Mereka tidak perlu berasa takut terhadap bayaran bagi permohonan lesen itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menarik balik pengecualian lesen runcit barang-barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 19 tahun lalu bagi mengelakkan ia diselewengkan.

Menurut Noor Nirwandy, lesen runcit wajib dilaksanakan bagi memastikan semua peruncit menjalankan perniagaan barangan kawalan yang sah di sisi undang-undang.

"Dengan mewujudkan lesen ini, kerajaan mempunyai profil peniagaan kedai runcit, oleh itu senang untuk mengesan mereka yang menyeleweng barangan kawalan itu. Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap peniaga berkenaan," katanya.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah pula berkata, lesen runcit penting bagi memastikan bekalan tepung gandum, gula dan minyak masak benar-benar untuk kegunaan isi rumah dan bukannya untuk kegunaan komersial dan diseludup ke negara jiran.

Menurutnya, sebelum ini sesiapa sahaja boleh membeli barangan kawalan daripada pihak pemborong kerana pihak berkuasa hanya mencatatkan mereka sebagai pembeli termasuk 'peruncit hantu'.

''Kerana itu bekalan daripada pemborong kepada peruncit tidak dapat dikawal dan ia menyebabkan isu penyeludupan barangan kawalan ke negara jiran berterusan,'' katanya.

Muhammad Sha'ani menambah, para peruncit sepatutnya memandang perkara tersebut sebagai kelebihan dan kebaikan kepada mereka serta pengguna.

''Saya sendiri tidak faham kenapa peruncit mahu memprotes sehingga ada yang sanggup memboikot untuk menjual barangan kawalan seperti gula dan tepung semata-mata kerana pelaksanaan lesen ini.

''Saya menyeru kepada pengguna supaya memboikot peruncit yang tidak mahu memohon lesen runcit barangan kawalan supaya mereka sedar bahawa bukan mereka sahaja yang mempunyai kuasa untuk memboikot,'' katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail pula menasihatkan para peruncit supaya mematuhi peraturan itu dengan memohon lesen runcit barang kawalan berkenaan.

Jelasnya, usaha kerajaan itu bertujuan memastikan penjualan barang kawalan di negara ini berjalan dengan teratur.

"Walaupun penjualan barangan ini dikawal, ia akan memastikan barangan ini tidak diseludup ke negara jiran," katanya.

No comments:

Post a Comment