Saturday, May 15, 2010

Kempen Pengurangan Penggunaan Beg Plastik di Selangor

PENDAHULUAN

Negeri Selangor merupakan sebuah negeri yang maju dalam sektor perdagangan dan
pesat dalam pembangunan. Sebagai sebuah negeri yang maju, banyak pasaraya besar dan
kompleks membeli-belah telah didirikan dalam negeri. Keadaan ini telah menyebabkan
penggunaan beg plastik secara besar-besaran di merata-rata. Oleh yang demikian,
keadaan pencemaran beg plastik ataupun dikenali sebagai pencemaran putih (white
pollution) semakin serius pada hari ini.

Memandangkan pencemaran beg plastik ini mungkin menjejaskan kualiti alam sekitar dan
kesihatan rakyat Negeri Selangor, pihak Kerajaan Negeri Selangor di bawah
Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar yang
dipengerusi oleh Y.B. Elizabeth Wong telah mengadakan satu perbincangan dengan
beberapa pengusaha-pengusaha pasaraya besar, kompleks membeli-belah serta peruncit
tentang kaedah-kaedah mengurangkan penggunaan beg plastik di dalam negeri.

Perbincangan mengenai “Kempen Tanpa Penggunaan Beg Plastik di Negeri Selangor”
mendapat sambutan hebat. Hasil daripada perbincangan, pihak Kerajaan Negeri Selangor
akan menganjurkan kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ pada setiap hari Sabtu. Pada hari
perlaksanaan kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ tersebut, beg plastik tidak akan diberikan kepada pembeli sebaliknya pembeli akan dikenakan bayaran sebanyak 0.20 sen ke atas setiap penggunaan sebarang beg plastik.

“Kempen Tanpa Penggunaan Beg Plastik di Negeri Selangor” akan dilaksanakan
mengikut peringkat yang dirangka memakan masa selama dua tahun. Sehubungan dengan
itu, peringkat yang pertama adalah dengan melaksanakan kempen“ Hari Tanpa Beg
Plastik” pada setiap hari Sabtu akan bermula pada tahun awal Tahun 2010. Setelah
perlaksanaan kempen dilaksanakan selama 6 bulan, pihak Kerajaan Negeri bersama
pengusaha-pengusaha akan menjalankan pemantauan bagi mengenalpasti impak daripada
kempen tersebut. Sekiranya kempen ini membawa kepada satu impak yang positif,
perlaksanaan peringkat kedua diteruskan dengan melanjutkan kempen “Hari Tanpa Beg
Plastik’ kepada hari-hari biasa.

TUJUAN

Kempen ini adalah bertujuan untuk mencapai objektif-objektif seperti berikut:
i) Mengurangkan penggunaan beg plastik di Negeri Selangor.
ii) Mempertingkatkan kesedaran pengguna awam terhadap impak-impak negative
penggunaan beg plastik.

TARIKH DAN TEMPAT
Tempat: Pasaraya Besar, Pasaraya, Pusat Membeli-belah dan Peruncit di Negeri
Selangor
Tarikh: Perlaksanaan bermula pada 9 Januari 2010

KAEDAH PERLAKSANAAN

Pihak Kerajaan Negeri Selangor menggalakkan semua pengusaha pasaraya besar,
pasaraya, peruncit dan pusat membeli-belah menyertai kempen ini. Satu “Deklarasi
Pengurangan Penggunaan Beg Plastik Negeri Selangor” akan diedarkan kepada
semua pengusaha untuk mengenalpasti samaada anda bersedia bekerjasama dengan
Kerajaan Negeri Selangor dalam kempen pengurangan penggunaan beg plastik supaya
pencemaran alam sekitar dapat ditangani.

Sekiranya anda bersetuju:
1. Sila mengecap dan menandatangani Deklarasi Pengurangan Penggunaan Beg Plastik
dan kemudian menghantar balik kepada alamat yang berikutnya:
Y.B. Elizabeth Wong
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar
Tingkat 2, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Tel : 03-55447760/7587/7759
Faks : 03- 5519 3328
2. Selepas itu, Kerajaan Negeri Selangor akan menghantarkan satu notis rasmi kepada
anda untuk edaran kepada semua rangkaian anda. Kemudian, lekatkan notis tersebut
di kedai anda.
3. Anda perlu membuat satu barcode untuk bayaran 0.20 sen bagi setiap beg plastik
dalam sistem juruwang anda ataupun sediakan satu kotak untuk mengumpul bayaran
penggunaan beg plastik di kaunter.

KESIMPULAN
Pihak Kerajaan Negeri Selangor yakin bahawa kempen ini akan memberi kesedaran dan
manfaat kepada para pengusaha dan pengguna iaitu mengurangkan kos pemprosesan beg
plastik serta mengurangkan pencemaran alam sekitar. Oleh itu, Pihak Kerajaan Negeri
Selangor berharap semua pengusaha-pengusaha akan menyambut baik kempen tersebut.

No comments:

Post a Comment